Lebih 100 Orang Asal Berkumpul di IPD Cameron Membuat Laporan Polis

22 November 2012

Pada hari ini, seramai 100 Orang Asal (OA) telah berkumpul di IPD Cameron Highlands, Brinchang untuk membuat laporan polis berkenaan masalah yang sedang dihadapi oleh mereka. Laporan polis telah dibuat oleh 10 orang wakil OA.

Kesemua kampung OA sebelum ini telah bersama menubuhkan 'Jaringan Tanah & Wilayah Adat OA Cameron Highlands (JARICH)' untuk memperjuangan hak mereka. Ini adalah kali pertama OA di Cameron Highlands keluar membuat laporan polis beramai-ramai untuk mempertahankan hak mereka.

SYABAS diucapkan kepada OA di Cameron yang kini sudah berani menyuarakan masalah mereka. PSM Cameron akan sentiasa bersama menyokong OA menyuarakan dan mempertahankan hak mereka. Berikut ialah isi kandungan laporan mereka:



Saya mewakili Jaringan Tanah & Wilayah Adat Orang Asal Cameron Highlands (JARICH) ingin membuat aduan polis berkenaan masalah OA di Cameron Highlands yang kini mengancam nyawa & kehidupan kami.

Saya dilahirkan & dibesarkan di kampung OA.  Ibu bapa dan nenek moyang saya juga telah mendiami kawasan lembah Sungai Bertam / Telom / Terisu sejak zaman sebelum British.

Pada asalnya tanah adat di kampung kami adalah di bawah pentadbiran masyarakat Orang Asli tempatan secara adat.  Kami bercucuk tanam, memburu, mengumpul hasil hutan, dan menjalankan berbagai-bagai aktiviti yang lain di atas tanah adat kami.  Kehidupan kami adalah sangat bergantung pada tanah.

Lebih kurang pada tahun 2010, kami telah mendapati bahawa mungkin sebahagian tanah adat kami akan dibangunkan di bawah projek Empangan Hulu Jelai  iaitu satu projek Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kami tidak tahu dan tidak diberi apa-apa maklumat tentang sejauh mana tanah adat kami akan diambil kerana projek empangan.  Pertanyanyaan telah dibuat melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli tetapi tiada maklum balas secara pasti yang di beri.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2011 kerja tanah telah bermula di tanah adat kami.  Akibatnya, pokok-pokok tanaman kami dan juga pokok semulajadi telah ditebang. Kami tidak setuju dengan perbuatan tersebut.

Masalah yang kami hadapi ialah:

  1. Struktur-struktur seperti bangunan, pencawang dll dibina di atas kawasan kubur nenek moyang kami oleh TNB atau Salini Malaysia Sdn Bhd tanpa kebenaran dari kami. Kawasan ini adalah kawasan bersejarah dan berusia beratusan tahun. Kawasan ini tidak patut dicerobohi. 
  2. Seramai lebih kurang 2000 penduduk dari Kg Teji, Kg Renglas, Kg Pinang, Kg Relong, Kg Terakit & Kg Rening tidak tahu samada perlu berpindah atau tidak akibat pembinaan Empangan Ulu Jelai. Walaupun mereka telah bertanyakan perkara ini beberapa kali kepada pegawai TNB, tiada jawapan yang konkrit diberikan. Mengikut laporan EIA, kampung OA terancam akibat pembinaan Empangan Ulu Jelai. Kenapakah TNB harus berahsia mengenai isu ini? 
  3. Sungai-sungai di kawasan ini tercemar dengan tanah mendapan (silt) akibat projek Empangan Ulu Jelai. Sungai-sungai ini merupakan punca air utama untuk penduduk OA di kawasan ini.  
  4. Pembinaan terowong air di dalam projek Empangan Ulu Jelai mungkin akan menyebabkan pembanjiran di beberapa kampung di mana terowong ini berakhir. Penjelasan mengenai perkara ini telah ditanya kepada pegawai TNB. Walaupun pegawai TNB menafi akan berlakunya banjir akibat pembinaan terowong, namun TNB tidak mahu memberikan jaminan ini secara bertulis. 
  5. Tanah adat & kampung OA dirampas utk pembinaan Menara Kabel Voltan Tinggi. Tanah adat milik turun-temurun diceroboh oleh TNB dan kontraktor untuk pembinaan menara tanpa kebenaran OA. 
  6. Kebun baru dibuka di atas tanah adat OA oleh individu/syarikat tanpa kebenaran. Aduan lisan kepada Pejabat Tanah & Daerah Cameron Highlands (PTDCH) tidak diendah dan tiada tindakan diambil. Walaupun Kerajaan Pahang telah menghalang pembukaan tanah pertanian yang baru di Cameron sejak tahun 2002, namun kebun baru seperti ini masih terus dibuka dengan membersihkan tanah adat OA yang terdiri dari hutan. Di Kg Terisu, OA tidak tahu bagaimana pampasan dibayar kepada mereka akibat pengambilan wilayah adat mereka untuk pertanian oleh pihak lain. 
  7. Lesen pembalakan diberi tanpa terkawal menyebabkan banyak tanah & wilayah adat OA diceroboh dan hutan ditebang. 
  8. Kemudahan titi tiada atau usang di beberapa kampung menyebabkan kesukaran penduduk berulang-alik (juga pelajar sekolah). Walaupun perkara ini telah dimaklumkan kepada Pejabat Daerah Cameron & Jab Kemajuan OA, namun tiada tindakan diambil. 
  9. Pencemaran udara dengan habuk akibat projek pembinaan Empangan Ulu. Masalah ini ketara semasa ketiadaan hujan. 
  10. OA hilang pendapatan akibat tidak dapat mengambil hasil hutan. Wilayah adat OA yang terdiri dari hutan telah diambil oleh kerana aktiviti seperti pembinaan Empangan Ulu Jelai, pembalakan dan pembukaan kebun.


Daripada Laporan Penilaian Impak Alam Sekiatar (EIA) yang dihantar oleh TNB kepada Jabatan Alam Sekitar dan diluluskan oleh JAS, ditulis dengan jelas bahawa Kampung Teji / Telanok adalah berada di dalam kawasan yang berisiko tinggi di mana sekiranya berlaku apa apa kejadian empangan pecah, kampung kampung ini akan ditenggelami air dan semua penduduk tidak mengkin terselamat.  Maka dicadangkan supaya penduduk di kampung kampung ini dipindah semula.

Kami tidak tahu tentang perkara ini SEBELUM laporan EIA ini diluluskan.  Kami juga tidak dapat memberi apa-apa pandangan kami terhadap projek Empangan semasa laporan EIA ini disediakan dan sebelum ia diluluskan.

Tanah adat Kg. Orang Asli adalah hak masyarakat Orang Asli di sini.  Kami adalah pemegang hak tanah secara adat.  Hak tanah kami adalah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Aktan Orang Asli 1954.

Kami membuat laporan ini untuk merekodkan perasaan tidak puas hati berkenaan masalah yang sedang hadapi. Sehingga kini projek empangan terus berjakan dan tanah adat kami terus diceroboh dan dimusnahkan sedikit demi sedikit.  Ini adalah bertentangan dengan hak asasi kami.


Suresh Kumar 
PSM Cameron
 019-569 6964

No comments: