

23 Mei 2012
Rabu
Green Cow, Kea Farm, Cameron Highlands
Pada
hari ini, 7 keluarga bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah
menaikkan riben penanda sempadan perjuangan untuk hak perumahan yang
selamat. Ketujuh-tujuh keluarga ini sedang menetap di kaki bukit di
Green Cow. Kawasan ini sedang dimajukan oleh 2 orang pemaju tanpa
menghiraukan nyawa 7 keluarga. Terdapat lebih kurang 35 orang ahli dari 7
keluarga ini.
Pemaju LTT Development Sdn Bhd ingin membina 6 blok kedai pejabat 4
tingkat berjumlah 65 unit & 256 unit tempat letak kereta. Manakala
pemaju Ng Yeet Ng pula ingin membina sebuah taman 'blackberry'.
Kedua-dua pemaju ini sedang cuba meratakan bukit di Green Cow yang akan
mewujudkan risiko tanah/batu runtuh untuk rumah-rumah ketujuh-tujuh
keluarga ini. Cameron Highlands memang mempunyai risiko tanah runtuh
dengan kejadian terakhir pada 8/8/2011 di Sg Ruil, Tanah Rata yang
mengorbankan 7 nyawa.
Lebih 30 surat telah dihantar sejak Oktober 2011 kepada Menteri
Besar, Pejabat Daerah & Tanah Cameron, Majlis Daerah Cameron
Highland (MDCH), JKR, Jabatan Alam Sekitar dan kedua-dua pemaju. Namun
tiada langkah penyelesaian yang diambil oleh mana-mana pihak. Malah, di
dalam mesyuarat yang diadakan pada 11/11/11, pemaju bersama MDCH dan
pegawai Daerah, Dato' Syed Mutalib, enggan menunjukkan pelan keselamatan
kepada jurutera perunding yang mewakili penduduk. Apa yang diminta oleh
penduduk ialah pemaju harus menjamin keselamatan rumah mereka atau
memberi mereka pampasan untuk berpindah.
Pada 13/10/2011, ketika penduduk menahan sebuah jentolak pemaju
daripada meneruskan kerja, 3 orang telah ditahan iaitu; Suresh Kumar
(wakil PSM CH), S.Nagarajan (penduduk) dan S.Thanabalan (penduduk). Kini
ketiga-tiga mereka sedang dituduh di Mahkahmah Majistret CH di bawah
seksyen KK341 dan KK506. Polis yang sepatutnya menjaga nyawa dan
hartabenda penduduk, kini bersekongkol dengan pemaju dan menahan
penduduk.
Beberapa hari lepas, pemaju LTT Development telah menjalankan
kerja-kerja tanah yang sangat berhampiran dengan rumah penduduk
(jaraknya lebih kurang 15m). Rumah-rumah penduduk bergetar akibat
kerja-kerja tanah ini. Kami juga percaya pemaju ingin memotong sebuah
jalan tidak berturap yang terletak di situ dan seterusnya memutuskan
hubungan di antara penduduk dan kebun mereka.
Laporan polis juga telah dibuat pada hari ini memberitahu polis
Cameron sekali lagi untuk hentikan pemaju dari terus mara. Jika polis
tidak bertindak, penduduk sekali lagi akan turun padang hentikan pemaju.