Kempen Anti-Insinerator Di Cameron Sudah Bermula



16 Jun 2010

Pada hari ini, satu sidang media telah diadakan berkenaan Kempen Anti-Insinerator. Sidang media ini telah diadakan di hadapan tapak pembinaan insinerator di Blue Valley. Sidang media ini telah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Cameron Highlands, Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Kempen ini telah dimulakan oleh MPR selepas mendapati ada beberapa sebab yang tidak munasabah insinerator perlu dibina di Cameron Highlands.
  1. Insinerator tidak diperlukan di Cameron Highlands kerana kandungan bahan organik yang tinggi dalam sisa pepejal di Cameron (23-50% jisim). Ini diakui oleh laporan DEIA (Detailed Environment Impact Assessment) yang dibuat sebelum projek ini dimulakan. Sisa pepejal organik ini boleh diuraikan dengan kaedah 'composting'.
  2. Baki sisa pepejal yang boleh dikitar semula boleh dikumpul dan dihantar ke pusat pengitaran semula.
  3. Rakyat Cameron tidak pernah dilibatkan sama dalam membuat keputusan untuk pembinaan insinerator.
  4. KPKT tidak pernah mempertimbangkan keadaah pelupusan sampah “zero waste” sebelum memilih untuk membina insinerator. Negara-negara yang lebih miskin dari Malaysia seperti Filipina dan India, sedang mencuba/telah melaksanakan konsep “zero waste” dengan jayanya. Kita boleh belajar dari kaedah mereka.
  5. Apakah polisi kerajaan BN terhadap alam sekitar? Pada satu waktu, kerajaan BN beria-ria mempromosikan Projek 3R (recycle, reuse & reduce). Konsep yang bagus ini hanya sekadar cakap kosong kerajaan kerana apa yang dibuat ialah bertentangan. Wang sebanyak RM38 juta dibelanjakan untuk membina insinerator (Parlimen 16Okt208). Wang itu boleh dibelanjakan untuk memulakan inisiatif “zero waste” di Cameron Highlands.
  6. Jumlah penduduk di Blue Valley dikatakan hanya 120 orang dari 30 buah keluarga dalam laporan DEIA. Ini adalah salah kerana di Blue Valley terdapat lebih kurang 500 orang dari 100 buah keluarga.
  7. Kerajaan pernah membina insinerator di 4 tempat sebelum ini (Langkawi, Pangkor, Tioman & Labuan) tetapi telah diabaikan kerana kos operasi yang tinggi (Parlimen 16Okt208). Insinerator yang sedang dibina ini juga tidak tahu bagaimana akan beroperasi kelak. Adakah ia akan:
  • berada di bawah penjagaan kerajaan dengan perbelanjaan yang tinggi? Jika ya, kos mengendalikan insinerator akan memakan sebahagian besar pendapatan PBT (pihak berkuasa tempatan).
  • adakah ia akan diletakkan di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal? Jika ya, adakah ini bermaksud rakyat Cameron akan menanggung kos operasi insinerator?
Seramai 40 orang ahli-ahli MPR dan penduduk tempatan telah hadir. Wakil dari CAP(Consumer Association of Penang), Mageswari.S dan ahli-ahli dari PSM Sg Siput juga telah hadir. Penduduk-penduduk yang hadir telah memegang banner dan placard menyatakan perasaan mereka yang tidak setuju dengan pembinaan insinerator. Anggota-anggota polis yang hadir memerhatikan kami dari jauh.

Selepas memegang banner dan placard untuk sejam, satu sessi perbincangan telah diadakan untuk penduduk-penduduk tempatan yang hadir. Suresh dan Mageswari telah berucap menerangkan bahawa insinerator tidak diperlukan dan kesan-kesan buruk untuk masyarakat setempat.

Selepas itu, untuk sidang media, 6 orang telah ditemuramah iaitu Rajamma A/P Marappan (53 thn- pekebun), Velusamy A/L Rangasamy (55 thn - pekebun), Sugumaran A/L Periasamy (53 thn - pekebun), Rengasamy A/L Karuppanan (56 tahn - pekebun), Mageswari (wakil CAP) dan saya sendiri.

Sidang media yang diadakan pada hari ini adalah permulaan kempen ini. Saya telah menerangkan perkara-perkara lain yang telah dirancang untuk dibuat dalam kempen ialah:
  1. pengedaran risalah dalam 3 bahasa; B.Malaysia, B.Mandrin, B.Tamil
  2. ceramah kelompok di seluruh Camerom
  3. kempen tandatangan
  4. penyerahan memorandum di Kementeria Perumahan & Kerajaan Tempatan di Putrajaya
Kami juga telah menghantar surat kepada Menteri KPKT meminta pembinaan insinerator diberhentikan dengan segera sehingga perkara ini dibincang dengan rakyat. Sesalinan surat ini juga telah dihantar kepada Menteri Alam Sekitar, Ahli Parlimen Cameron, Dato S.K.Devamany dan ADUN Tanah Rata, YB Ho Yip Kap. Tiada jawapan dari mana-mana pihak sehingga kini.


Suresh Kumar
Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Sidang Media Kempen Anti-Insinerator 16 Jun 2010



8 Jun 2010

KENYATAAN AKHBAR BERHUBUNG DENGAN PELANCARAN KEMPEN ANTI-INSINERATOR
TEMPAT: DI HADAPAN TAPAK PEMBINAAN INSINERATOR, BLUE VALLEY, CAMERON HIGHLANDS, PAHANG.
TARIKH: 16 JUN 2010
MASA: 11 PAGI

Kempen anti-insinerator akan bermula di Cameron Highlands akibat pembinaan loji rawatan termal sisa pepejal di Blue Valley, Cameron Highlands. Insinerator adalah satu struktur yang akan digunakan untuk membakar sampah. Insinerator di Cameron sedang dibina oleh Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT).

Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) telah membincangkan perkara ini dan telah membuat keputusan untuk memulakan kempen ini kerana:
  1. insinerator tidak diperlukan di Cameron Highlands kerana kandungan bahan organik yangtinggi dalam sisa pepejal di Cameron (23-50% jisim). Ini diakui oleh laporan DEIA (DetailedEnvironment Impact Assessment) yang dibuat sebelum projek ini dimulakan. Sisa pepejalorganik ini boleh diuraikan dengan kaedah 'composting'.
  2. sisa pepejal yang boleh dikitar semula boleh dikumpul dan dihantar ke pusat pengitaran semula.
  3. rakyat Cameron tidak pernah dilibatkan sama dalam membuat keputusan untuk pembinaan insinerator.
Jika dibandingkan dengan cara pelupusan sampah seperti penimbusan tanah, insinerator adalah
lebih baik. Tetapi ia bukan teknologi terbaik. Cara terbaik pelupusan sisa pepejal adalah dengan
kaedah 'composting' dan pengitaran semula. Negara-negara seperti Filipina, India dan Jepun telah menjalankan 'composting' dan pengitaran semula dengan jayanya. 'Composting' juga amat sesuai dengan cuaca Cameron Highlands.

Perbelanjaan untuk membina insinerator di Cameron adalah RM37.54 juta (diambil nilai purata dari jumlah RM187.7 juta untuk membina 5 insinerator). Perbelanjaan ini adalah cukup tinggi untuk teknologi yang bukan terbaik. Sebelum ini, 4 insinerator telah dibina di Malaysia dengan kos RM12.4 juta tetapi telah diabaikan kerana kos operasi yang terlalu tinggi. Mengapakah perkara begini boleh berlaku? Adakah kerajaan membina insinerator tersebut tergesa-gesa tanpa membuat kajian? Ini adalah suatu pembaziran duit rakyat.

Insinerator juga akan menyebabkan pencemaran udara, bunyi, air dan tanah. Langkah kerajaan
untuk membina insinerator secara senyap juga menunjukkan polisi-polisi kerajaan yang tidak mesra alam sekitar. Kerajaan yang kononnya menekankan pengitaran semula melalui konsep 3R (RECYCLE, REUSE & REDUCE) kini berbuat perkara yang terbalik dengan membina insinerator.

Kami telah menghantar surat kepada Menteri KPKT meminta pembinaan insinerator diberhentikan dengan segera sehingga perkara ini dibincang dengan rakyat. Sesalinan surat ini juga telah dihantar kepada Menteri Alam Sekitar, Ahli Parlimen Cameron dan ADUN Tanah Rata. Tiada jawapan dari mana-mana pihak sehingga kini.

Bersama-samalah kita menghadirkan diri ke sidang media Kempen Anti-Insinerator pada 16 Jun 2010 (Rabu). Sila hubungi saya untuk maklumat lanjut. Suresh Kumar 019-5696964.

Selamatkan masa depan kita. Tolak insinerator!!!

Perbincangan Dengan Setiausaha (SU) Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) Berkenaan Pembinaan Pondok Bas Di Blue Valley



17 Mei 2010

Pada hari ini, saya bersama beberapa penduduk Blue Valley dan ahli-ahli Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) telah menghadiri perbincangan dengan SU MDCH berkenaan permintaan oleh penduduk Blue Valley supaya 2 pondok bas dibina. Permintaan ini telah dibuat melalui kempen tandatangan yang telah dihantar kepada MDCH pada 24 Julai 2009. 200 tandatangan telah dikutip.

MDCH telah bersetuju dan telah berpendapat pembinaan pondok bas itu sesuai untuk kegunaan orang ramai. Namun MDCH telah menangguhkan pembinaan pondok bas ini ke 2010 akibat kekurangan dana,

Perjumpaan ini diadakan susulan surat ke-2 kepada SU MDCH meminta status pondok bas pada 29 April 2010.

Lawatan memilih tapak telah dilakukan oleh pegawai dari MDCH pada 14 Mei 2010. Di dalam lawatan tapak tersebut, kami telah diberitahu bahawa MDCH hanya mempunyai peruntukan untuk membina 1 pondok bas. Setelah mengadakan perbincangan, ahli-ahli MPR dari Blue Valley telah bersetuju untuk menerima pembinaan 1 pondok bas.

SU MDCH, En.Mazlan Bin Mohamed Isa, pada hari ini telah bersetuju untuk membina 1 pondok bas dengan peruntukkan RM19 000. Kami telah meminta SU supaya pondok bas tersebut dibina dengan sesuai supaya dapat menolong penduduk untuk berteduh walaupun pada masa hujan. Kami juga telah meminta SU mengadakan satu lagi perbincangan dengan kami selepas rekabentuk pondok bas tersebut dikenalpasti.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Penyerahan Memorandum Di PERKESO Kuantan, Pahang



19 Mei 2010

Pada hari ini, saya bersama kawan-kawan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), DAP dan PKR telah mengunjungi Pejabat PERKESO Pahang di Kuantan Centre Point untuk menyerahkan satu memorandum. Memorandum ini bertujuan memberikan cadangan bagaimana PERKESO boleh memberikan lebih perlindungan kepada pekerja di Malaysia. Penyerahan ini telah diadakan secara serentak di 6 buah negeri iaitu di Ibupejabat PERKESO KL, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor.

Memorandum telah diterima oleh Pengarah PERKESO Pahang, Encik Yusoff Ngah. Kami juga telah mengadakan satu perbincangan kecil mengenai cadangan-cadangan di dalam memo. Encik Yusoff Ngah telah berkata bahawa cadangan yang dikemukakan oleh kami sangat positif dan patut dilaksanakan. Beliau berjanji untuk memanjangkan memorandum ini kepada Ibu Pejabat di Kuala Lumpur.

En.Yusoff juga telah memberitahu kami bahawa 2 pejabat PERKESO baru akan dibuka di Kuala Lipis dan Bandar Muadzam Shah.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Sambutan Hari Pekerja di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. 5 Bas Dihalang Polis.



1 Mei 2010

Pada hari ini, saya telah mengambil bahagian dalam sambutan Hari Pekerja di Dataran Merdeka, Kuala lumpur. Saya telah mengikut kumpulan Ipoh ke Kuala Lumpur melalui bas. 5 buah bas telah disewa oleh penduduk sekitar Ipoh dan Sg Siput untuk menyertai program hari ini.

Apabila kami sampai ke Plaza Tol Jalan Duta Tol, 2 kereta peronda polis telah menahan kami. Apabila ditanyakan tujuan penahan, pegawai polis telah berkata mereka sedang menunggu arahan daripada pegawai atasan. Kami telah cuba menjelaskan kepada pihak polis, namun mereka tidak ingin mendengar.

Oleh sebab itu, kami tidak peduli dengan penahanan tersebut dan telah meneruskan perjalanan kami ke Dataran Merdeka. Tiba-tiba kami ditahan lagi di jalan Seremban sebelum Exit Jalan Parlimen dengan 6 kereta peronda polis. Kereta-kereta peronda ini telah menghalang bas-bas kami. Salah satu kereta tersebut ialah kereta peronda Mitsubishi Evolution 10 yang telah dibeli oleh PDRM dengan harga RM159000 untuk menangkap kenderaan berkelajuan tinggi. Tetapi pada hari ini, kereta itu telah digunakan untuk menghalang bas-bas kami.

Sekali lagi kami telah cuba menjelaskan ini adalah hak pekerja untuk menyambut Hari Pekerja dan mengapa pihak polis harus menganggu. Nampaknya pihak polis sangat degil dan tidak mahu mendengar. Kami semua telah turun dari 5 bas dan berjalan kaki menuju ke Dataran Merdeka. Apabila kami tiba di hadapan Parlimen, kami telah membuka bahan-bahan protes seperti 'banner' dan 'head ban'. Slogan-slogan seperti Hidup Pekerja, Hidup Rakyat, Hentikan GST mula bergema di hadapan Parlimen.

Pihak polis kemudiannya telah membenarkan kami menaiki bas dan bertolak ke Dewan Chinese Assembly. Itu adalah tempat perkumpulan kami selepas berjalan dari Dataran Merdeka. Di situ, lebih kurang 500 orang rakan-rakan seperjuangan sedang menunggu. Beberapa orang pimpinan PSM telah berucap dan himpunan aman itu telah diakhiri dengan Deklarasi Hari Pekerja 2010.

Ini adalah niat jahat pihak polis untuk menahan kami dari menyambut Hari Pekerja. Pihak polis tidak mahu kami berkumpul dalam satu kumpulan yang besar di Dataran Merdeka. Walaupun pihak polis cuba menahan tetapi akhirnya kami berjaya meneruskan program kami. Ini adalah satu petunjuk kepada pihak polis dan Kerajaan BN supaya memperkecil-kecilkan kaum pekerja.

Seperti kata-kata Karl Marx:
Workers of the world unite; you have nothing to lose but your chains.

SELAMAT HARI PEKERJA . MANSUHKAN CUKAI GST!!!

Suresh Kumar
PSM Cameron

Perjumpaan Dengan Dato Shamsuddin Nawawi, Setiausaha Politik MB Pahang di Pejabat JKR Tanah Rata



29 April 2010


Pada hari ini, satu perjumpaan dengan Dato Shamsuddin Nawawi, Setiausaha Politik MB Pahang telah diadakan di Cameron Highlands. Perjumpaan ini diadakan berikutan janji yang diberikan di Kuantan pada 20 April 2010 oleh Dato Shamsuddin untuk bertemu dengan wakil-wakil Majlis Perwakilan Rakyat (MPR).

Pada hari ini, dokumen-dokumen sokongan telah diberikan kepada Dato Shamsuddin berkenaan 15 masalah yang telah diadu melalui memorandum kepada MB Pahang pada 20 April. Pejabat Daerah & Tanah Cameron Highlands enggan menyelesaikan masalah-masalah ini.

Masalah-masalah tersebut ialah:
  1. 5 pekebun kecil yang tidak diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) walaupun telah bertani lebih 20 ke 40 tahun.
  2. 1 pengusaha gerai makanan yang tidak diberikan LPS untuk mendirikan gerai tetapi kawasan itu kemudian diberikan kepada orang yang lebih kaya.
  3. 1 pemilik rumah yang kawasan rumahnya telah dipajak kepada orang lain.
  4. 1 OKU yang telah dijanjikan bantuan rumah sejak setahun dahulu tetapi belim dapat.
  5. 1 ibu tunggal yang gerai makanannya telah dirobohkan oleh Pejabat Daerah Cameron walaupun diberi jaminan oleh YB Dato SK Devamany sebelum pilihanraya 2008.
  6. 1 ibu tunggal yang tidak diberikan peluang memiliki rumah kos rendah di Cameron Highlands.
  7. Penutupan jalan yang digunakan oleh 35 keluarga.
  8. 2 ibu tunggal yang telah memohon LPS untuk bertani tetapi tidak berjaya.
  9. 1 pengusaha ternakan kambing yang tidak diberikan LPS.
  10. 1 warga tua yang pernah memohon LPS bertani dan rumah kediaman sejak 1969 tetapi tidak berjaya.
Dato' Shamsuddin telah berkata bahawa beliau akan cuba mencari penyelesaian untuk kes-kes ini dan membawa perkara ini kepada perhatian MB. Beliau telah berjanji untuk menyelesaikan kes-kes ini. Tetapi Dato Shamsuddin tidak mahu memberi satu tempoh masa untuk MB Pahang menyelesaikan kes-kes ini.

Banyak anggota polis cawangan khas juga dilihat di sekitar kawasan perjumpaan ini.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Percubaan Untuk Menerima Memorandum di Tengah Jalan Oleh Pihak Menteri Besar Pahang



20 April 2010

Pada hari ini, sejumlah 40 ahli-ahli Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) telah datang ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang terletak di Wisma Sri Pahang, Kuantan. Tujuan kami adalah untuk menyerahkan memorandum kepada MB Pahang, YB Dato' Sri Adnan Bin Haji Yaakob. Ketibaan kami pada pukul 10.30pagi telah diterima oleh Setiausaha Politik MB, Dato' Shamsuddin bin Haji Nawawi. MPR ialah satu gabungan di bawah Parti Sosialis Malaysia (PSM), Cawangan Cameron Highlands.

Kami telah dilayan di tengah jalan tanpa dibenarkan masuk ke dalam perkarangan Wisma Sri Pahang. Ini bertentangan dengan apa yang dijanjikan oleh Dato' Shamsuddin sebelum itu. Beliau telah berjanji untuk membenarkan kami masuk berjumpa MB Pahang dan oleh sebab itu, kami telah menghantar satu senarai nama beserta nombor kad pengenalan ke Pejabat MB. Alasan yang diberikan oleh Dato' Shamsuddin ialah bahawa MB terpaksa membatalkan pertemuan kami di saat terakhir kerana menerima kunjungan Presiden sebuah universiti Jordan. Inilah dikatakan Kera Di Hutan Disusukan, Anak Di Rumah Mati Kelaparan. Kehadiran begitu banyak polis cawangan khas juga dapat diperhatikan.

Kami telah bertegas dengan pendirian kami mahu berjumpa MB dan perjumpaan itu mesti diadakan dengan tatacara yang betul, bukannya di tengah jalan. Walaupun Dato' Shamsuddin telah beberapa kali meminta memorandum, kami enggan menyerahkan memorandum di tengah jalanraya. Kami juga telah sebulat suara bersetuju untuk tunggu di situ selagi tiada tempat khas untuk perbincangan disediakan.

Dato' Shamsuddin tiba-tiba mendapat idea untuk menggunakan sebuah dewan di sebuah perpustakaan yang terletak berhampiran. Dewan dibuka dan kami dijemput masuk. Kami telah mengarahkan kesemua polis cawangan khas yang telah masuk ke dalam dewan bersama kami supaya keluar. Ini hanya satu perjumpaan di antara pegawai kerajaan dan rakyat. Tidak melibatkan isu keselamatan. Kami juga tidak membawa sebarang senjata.

Kesemua masalah telah diterangkan secara am dan juga satu persatu oleh setiap pengadu. Dato' Shamsuddin telah cuba berdolak-dalik, tetapi ahli-ahli MPR tegas dengan keputusan bahawa MB Pahang harus campur tangan dan menyelesaikan masalah mereka. Dato' Shamsuddin telah bersetuju untuk hadir sendiri ke Cameron Highlands pada 29 April 2010 untuk menerima dokumen sokongan kes-kes yang telah dikemukakan. Perbincangan itu diakhiri dengan penyerahan memorandum.

Di luar dewan pula, kami mendapat berita bahawa 3 ADUN dari Pakatan Rakyat bersedia menerima memorandum kami dan membawa isu ini ke perbincangan DUN. Mereka ialah ADUN Tras, YB.Choong Siew Onn; ADUN Kuala Semantan YB. Tuan Syed Hamid Bin Syed Mohamed dan ADUN Triang, YB. Leong Ngah Ngah. Kami telah menyerahkan memorandum kepada ketiga-tiga ADUN tersebut.

Dalam perbicangan selepas itu, ahli-ahli MPR telah sebulat suara bersetuju untuk memberikan masa 1 bulan kepada MB Pahang untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.

Suresh Kumar
PSM Cameron