Green Cow: Mungkin satu lagi kes tanah runtuh seperti Sg Ruil



Green Cow, Kea Farm, Cameron Highlands - 30/9/2011.

Kerja-kerja tanah yang telah dimulakan oleh pemaju-pemaju di kawasan ini telah meletakkan beberapa rumah di kawasan ini di dalam risiko tanah/batu runtuh; sama seperti yang terjadi di Perkampungan Orang Asli Sg Ruil baru-baru ini. Lebih kurang 10 keluarga terjejas akibat kerja-kerja tanah ini.

Salah seorang pemaju ialah LTT Development Sdn Bhd yang sedang memajukan kawasan itu untuk 6 blok kedai 3 tingkat. Seorang lagi pemaju tidak dapat dikenalpasti kerana tidak meletakkan papantanda maklumat projek. LTT Development sedang memajukan kawasan itu dengan kos RM20 juta.

Semalam, 5 ketua keluarga telah membuat laporan polis di IPD Cameron Highlands, Brinchang meminta kerja-kerja tanah dihentikan segera. 5 keluarga ini juga inginkan pemaju berbincang dengan mereka mengenai pampasan yang boleh diberikan untuk mereka berpindah keluar dari kawasan ini. Kelima-lima ketua keluarga tersebut ialah:

a.) Tan Chee Wah, 59 tahun

b.) Marapan A/L Sangadoo, 42 tahun

c.) Ganash A/L Sangadoo, 50 tahun

d.) Nagarajan A/L Subsamanyan, 33 tahun

e.) Khor Ah Lek, 55 tahun


Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cameron Highlands, Suresh Kumar bersama beberapa penyokong PSM telah membantu mereka membuat laporan polis semalam.

"Ada satu batu sebesar 10mx10mx10m yang telah menjadi tidak stabil akibat kerja-kerja tanah ini. Jika batu itu jatuh ke bawah, rumah dan kandang kambing saya akan musnah. Pemaju langsung tidak bertimbang rasa ketika membuat kerja-kerja tanah di sekeliling batu tersebut", kata S.Marapan, salah seorang yang terlibat. "Pihak pemaju tidak memberikan sebarang notis sebelum memulakan kerja-kerja mereka", ujurnya lagi.

" Kami sudah tinggal di sini lebih kurang 40 tahun. Kami ada hak untuk tinggal di rumah yang selamat dan bukannya dalam ketakutan akibat tanah runtuh. Lebih-lebih lagi jika dilihat tanah runtuh di Sg Ruil, apa-apa pun boleh terjadi sekarang", kata S.Ganash, seorang lagi penduduk di situ.

Suresh Kumar berkata satu surat tuntutan pampasan akan dihantar kepada pemaju-pemaju berkenaan untuk meminta rumah ganti jika mereka mahu meneruskan kerja-kerja tanah mereka. Selagi itu, 5 keluarga tersebut bertekad untuk menghalang kerja-kerja tanah di Green Cow.

Suresh Kumar
PSM Cameron
019-569 6964

Rekod 1000 risalah JANGAN TIPU RAKYAT diedar di Pekan



24 Januari 2011

PSM Cameron telah menyambung kempen edaran risalah JANGAN TIPU RAKYAT di Pekan & Rompin hari ini. Antara tempat-tempat yang telah diedar ialah bandar Pekan, Nenasi, Kuala Rompin dan Muadzam Shah. Edaran risalah juga telah dibuat di Beserah, Balok, Cherating, Sg Lembing, Paching & Gambang semalam.

Kempen edaran risalah ini bertujuan untuk mendesak Kerajaan Pahang menyelesaikan lebih 15 masalah-masalah rakyat di Cameron. Antara masalah-masalah ini ialah tanah pertanian, rumah, gerai, kos rendah & ibu tunggal. PSM Cameron telah berjuang untuk penyelesaian masalah-masalah ini lebih 3 tahun tetapi tidak mendapat sebarang penyelesaian.

'Sambutan yang diberikan oleh penduduk Pekan & Rompin sangat memberangsangkan. Kami telah berjaya edarkan lebih dari 7000 risalah dalam kempen ini' kata Suresh, pengerusi PSM Cameron. 'Malah ada rakyat yang meminta lebih banyak risalah untuk diedarkan kepada kawan, jiran & saudara' tambah beliau lagi.

'Walaupun Pekan adalah kawasan parlimen Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak, tetapi kami mencatat rekod dalam edaran ini apabila hampir 1000 risalah diedarkan di bandar ini. Banyak penduduk ingin tahu apakah masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh kami di Cameron Highlands", ujur Suresh.

Seorang petani yang turut serta dalam edaran risalah ini, R.Palanisamy, 37, berkata penduduk Rompin juga ada berkongsi pengalaman yang sama berkenaan Kerajaan BN Pahang yang tidak peka terhadap masalah-masalah rakyat Pahang.

Suresh Kumar
PSM Cameron
019-569 6964

Edaran Risalah JANGAN TIPU RAKYAT Anjuran PSM Cameron Highlands Berjaya Di Adakan Biar Pun Di Halang Pihak Polis Di Wisma Sri Pahang, Kuantan



14 September 2011

Seramai tiga belas orang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cameron Highlands telah mengadakan edaran risalah "Jangan Tipu Rakyat" di pintu masuk Wisma Sri Pahang dekat sini pagi tadi. Program bermula kira-kira jam 11.00 pagi itu, turut dihadiri oleh beberapa orang ahli dari Pakatan Rakyat. Mereka bersama-sama mengedarkan risalah di kawasan pintu masuk Wisma Sri Pahang, Masjid Negeri Sultan Hj.Ahmad Shah I dan sekitarnya.

Menurut Suresh (Pengerusi PSM Cameron), tujuan edaran risalah itu diadakan adalah untuk mendesak Kerajaan Negeri Pahang supaya mendengar rintihan mereka terhadap beberapa masalah yang telah dihadapi sejak tiga tahun yang lalu.

"Kerajaan BN tidak mahu selesaikan masalah, malah langsung tidak pedulikan apa yang kami suarakan. Aduan termasuk memorandum, surat dan perjumpaan sudah pun dibuat kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), Menteri Besar Pahang (Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob) dan bekas Pegawai Daerah Cameron Highland (Dato' Muhammad Noor Abdul Rani) dan Pegawai Daerah yang baru iaitu Dato' Abd Muain Abd Hamid. Namun tiada satu pun tindakan telah diambil oleh pihak berkenaan", katanya.

Antara perkara yang di bangkitkan ialah berkaitan masalah pekebun kecil di Blue Valley yang sudah 40 tahun bertani tetapi masih tidak diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS). Malahan ada juga kes mereka yang sedang dihalau keluar dari rumah dan gerai masing-masing di Ringlet & Blue Valley kerana kawasan rumah itu diberikan LPS/Hak Milik tetap kepada kroni Barisan Nasional (BN). Turut dibangkitkan ialah berkaitan masalah ibu-ibu tunggal yang tidak diberi peluang ekonomi dan masalah rumah kos-rendah tidak diberi kepada rakyat kurang mampu. Satu lagi masalah ialah gerai yang sudah 20 tahun diusahakan tiba-tiba dikeluarkan arahan pengosongan untuk memberi laluan projek mega Aranda Nova di Kea Farm. Kesemua masalah ini melibatkan Pejabat Daerah dan Kerajaan Pahang yang tidak ingin membantu.

Edaran risalah telah berjaya dilakukan dalam tempoh setengah jam sehingga 11.30 pagi. Pihak polis yang sudah pun berada di sana sejak awal-awal lagi tiba-tiba tidak membenarkan ahli-ahli PSM beredar ke tempat lain memberikan risalah. Malah, Insp Irwan yang hadir di sana mahu kesemua ahli PSM pergi ke IPD Pahang untuk siasatan. Tetapi selepas perbincangan, pihak polis tidak ada apa-apa bukti menunjukkan terdapatnya pelanggaran undang-undang dan terpaksa membebaskan kesemua ahli PSM.

"Saya terkilan dengan layanan yang diberikan oleh pihak polis terhadap kami. Polis mahu menahan kami untuk dibawa ke IPD Kuantan. Bila ditanya atas alasan apa, mereka jawab undang-undang am. Saya pertikaikan apa itu undang-undang am. Setelah perbincangan dilakukan, kami akhirnya tidak dibawa ke IPD untuk siasatan. Seterusnya kami mengedarkan risalah di sekitar bandar Kuantan. Sambutan diterima dari kalangan orang ramai amat menggalakkan", tambah beliau lagi.

"Saya terkejut begitu ramai anggota polis Cawangan Khas (SB) yang hadir memantau sebelum kehadiran pegawai polis atasan yang beruniform. Kami tidak buat salah, hanya edar risalah. Saya merasakan polis seolah-olah hanya mahu menakutkan orang ramai terutamanya peserta yang hadir", katanya lagi. "Dan kami dapat lihat pihak polis terpaksa rujuk kepada pihak atasan untuk melepaskan kami", tambah beliau lagi.

Semasa program berjalan peserta terbabit didapati sempat merentangkan kain sepanduk yang tertulis "Jangan Tipu Rakyat". Kelihatan juga beberapa orang wartawan media yang hadir membuat liputan program tersebut tadi."Kami ucapkan berbanyak terima kasih kepada para wartawan yang membuat liputan termasuk juga rakan-rakan Pakatan Rakyat", tambahnya.

Edaran risalah ini akan disambung ke tempat-tempat lain di Pahang pada minggu hadapan.

Suresh Kumar
PSM Cameron Highands