Green Cow: Mungkin satu lagi kes tanah runtuh seperti Sg Ruil



Green Cow, Kea Farm, Cameron Highlands - 30/9/2011.

Kerja-kerja tanah yang telah dimulakan oleh pemaju-pemaju di kawasan ini telah meletakkan beberapa rumah di kawasan ini di dalam risiko tanah/batu runtuh; sama seperti yang terjadi di Perkampungan Orang Asli Sg Ruil baru-baru ini. Lebih kurang 10 keluarga terjejas akibat kerja-kerja tanah ini.

Salah seorang pemaju ialah LTT Development Sdn Bhd yang sedang memajukan kawasan itu untuk 6 blok kedai 3 tingkat. Seorang lagi pemaju tidak dapat dikenalpasti kerana tidak meletakkan papantanda maklumat projek. LTT Development sedang memajukan kawasan itu dengan kos RM20 juta.

Semalam, 5 ketua keluarga telah membuat laporan polis di IPD Cameron Highlands, Brinchang meminta kerja-kerja tanah dihentikan segera. 5 keluarga ini juga inginkan pemaju berbincang dengan mereka mengenai pampasan yang boleh diberikan untuk mereka berpindah keluar dari kawasan ini. Kelima-lima ketua keluarga tersebut ialah:

a.) Tan Chee Wah, 59 tahun

b.) Marapan A/L Sangadoo, 42 tahun

c.) Ganash A/L Sangadoo, 50 tahun

d.) Nagarajan A/L Subsamanyan, 33 tahun

e.) Khor Ah Lek, 55 tahun


Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cameron Highlands, Suresh Kumar bersama beberapa penyokong PSM telah membantu mereka membuat laporan polis semalam.

"Ada satu batu sebesar 10mx10mx10m yang telah menjadi tidak stabil akibat kerja-kerja tanah ini. Jika batu itu jatuh ke bawah, rumah dan kandang kambing saya akan musnah. Pemaju langsung tidak bertimbang rasa ketika membuat kerja-kerja tanah di sekeliling batu tersebut", kata S.Marapan, salah seorang yang terlibat. "Pihak pemaju tidak memberikan sebarang notis sebelum memulakan kerja-kerja mereka", ujurnya lagi.

" Kami sudah tinggal di sini lebih kurang 40 tahun. Kami ada hak untuk tinggal di rumah yang selamat dan bukannya dalam ketakutan akibat tanah runtuh. Lebih-lebih lagi jika dilihat tanah runtuh di Sg Ruil, apa-apa pun boleh terjadi sekarang", kata S.Ganash, seorang lagi penduduk di situ.

Suresh Kumar berkata satu surat tuntutan pampasan akan dihantar kepada pemaju-pemaju berkenaan untuk meminta rumah ganti jika mereka mahu meneruskan kerja-kerja tanah mereka. Selagi itu, 5 keluarga tersebut bertekad untuk menghalang kerja-kerja tanah di Green Cow.

Suresh Kumar
PSM Cameron
019-569 6964

No comments: