Edaran Risalah JANGAN TIPU RAKYAT Anjuran PSM Cameron Highlands Berjaya Di Adakan Biar Pun Di Halang Pihak Polis Di Wisma Sri Pahang, Kuantan



14 September 2011

Seramai tiga belas orang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cameron Highlands telah mengadakan edaran risalah "Jangan Tipu Rakyat" di pintu masuk Wisma Sri Pahang dekat sini pagi tadi. Program bermula kira-kira jam 11.00 pagi itu, turut dihadiri oleh beberapa orang ahli dari Pakatan Rakyat. Mereka bersama-sama mengedarkan risalah di kawasan pintu masuk Wisma Sri Pahang, Masjid Negeri Sultan Hj.Ahmad Shah I dan sekitarnya.

Menurut Suresh (Pengerusi PSM Cameron), tujuan edaran risalah itu diadakan adalah untuk mendesak Kerajaan Negeri Pahang supaya mendengar rintihan mereka terhadap beberapa masalah yang telah dihadapi sejak tiga tahun yang lalu.

"Kerajaan BN tidak mahu selesaikan masalah, malah langsung tidak pedulikan apa yang kami suarakan. Aduan termasuk memorandum, surat dan perjumpaan sudah pun dibuat kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), Menteri Besar Pahang (Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob) dan bekas Pegawai Daerah Cameron Highland (Dato' Muhammad Noor Abdul Rani) dan Pegawai Daerah yang baru iaitu Dato' Abd Muain Abd Hamid. Namun tiada satu pun tindakan telah diambil oleh pihak berkenaan", katanya.

Antara perkara yang di bangkitkan ialah berkaitan masalah pekebun kecil di Blue Valley yang sudah 40 tahun bertani tetapi masih tidak diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS). Malahan ada juga kes mereka yang sedang dihalau keluar dari rumah dan gerai masing-masing di Ringlet & Blue Valley kerana kawasan rumah itu diberikan LPS/Hak Milik tetap kepada kroni Barisan Nasional (BN). Turut dibangkitkan ialah berkaitan masalah ibu-ibu tunggal yang tidak diberi peluang ekonomi dan masalah rumah kos-rendah tidak diberi kepada rakyat kurang mampu. Satu lagi masalah ialah gerai yang sudah 20 tahun diusahakan tiba-tiba dikeluarkan arahan pengosongan untuk memberi laluan projek mega Aranda Nova di Kea Farm. Kesemua masalah ini melibatkan Pejabat Daerah dan Kerajaan Pahang yang tidak ingin membantu.

Edaran risalah telah berjaya dilakukan dalam tempoh setengah jam sehingga 11.30 pagi. Pihak polis yang sudah pun berada di sana sejak awal-awal lagi tiba-tiba tidak membenarkan ahli-ahli PSM beredar ke tempat lain memberikan risalah. Malah, Insp Irwan yang hadir di sana mahu kesemua ahli PSM pergi ke IPD Pahang untuk siasatan. Tetapi selepas perbincangan, pihak polis tidak ada apa-apa bukti menunjukkan terdapatnya pelanggaran undang-undang dan terpaksa membebaskan kesemua ahli PSM.

"Saya terkilan dengan layanan yang diberikan oleh pihak polis terhadap kami. Polis mahu menahan kami untuk dibawa ke IPD Kuantan. Bila ditanya atas alasan apa, mereka jawab undang-undang am. Saya pertikaikan apa itu undang-undang am. Setelah perbincangan dilakukan, kami akhirnya tidak dibawa ke IPD untuk siasatan. Seterusnya kami mengedarkan risalah di sekitar bandar Kuantan. Sambutan diterima dari kalangan orang ramai amat menggalakkan", tambah beliau lagi.

"Saya terkejut begitu ramai anggota polis Cawangan Khas (SB) yang hadir memantau sebelum kehadiran pegawai polis atasan yang beruniform. Kami tidak buat salah, hanya edar risalah. Saya merasakan polis seolah-olah hanya mahu menakutkan orang ramai terutamanya peserta yang hadir", katanya lagi. "Dan kami dapat lihat pihak polis terpaksa rujuk kepada pihak atasan untuk melepaskan kami", tambah beliau lagi.

Semasa program berjalan peserta terbabit didapati sempat merentangkan kain sepanduk yang tertulis "Jangan Tipu Rakyat". Kelihatan juga beberapa orang wartawan media yang hadir membuat liputan program tersebut tadi."Kami ucapkan berbanyak terima kasih kepada para wartawan yang membuat liputan termasuk juga rakan-rakan Pakatan Rakyat", tambahnya.

Edaran risalah ini akan disambung ke tempat-tempat lain di Pahang pada minggu hadapan.

Suresh Kumar
PSM Cameron Highands

No comments: