Kuasa Rakyat Gegarkan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron

7 Januari 2009

Pada hari ini, sejarah rakyat yang baru tercipta di Cameron Highlands. Kuasa rakyat akhirnya berjaya mendapatkan pertemuan dengan Pegawai Daerah Cameron Highlands.

Seperti yang telah dipersetujui di dalam Majlis Perwakilan Rakyat (MPR), pada hari ini, wakil-wakil MPR Cameron telah pergi ke Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands (PTDCH). Lawati laman web berikut untuk mengetahui berita-berita MPR:

MPR Ke-3: Fokus Kepada 4 Isu Utama
Kuasa Rakyat Berjaya Mendapat Jawapan Dari Pejabat Daerah Cameron
MPR Cameron Ke-2... Lebih banyak perbincangan
MPR... Titik Permulaan Kuasa Rakyat di Cameron

Di antara mereka, ada yang menghadapi masalah tanah, rumah dan rumah kos rendah. Ada yang juga datang untuk memberikan sokongan solidariti. Sekitar 50 orang kesemuanya. Terima kasih diucapkan kepada Komrad Agastin, Nagen, Karthik dan Ruben yang turut hadir untuk memberikan sokongan solidariti.

PTDCH yang tidak begitu sibuk tiba-tiba menjadi ‘live’ dengan kahadiran wakil-wakil MPR. Pegawai Daerah, Dato' Haji Mohamad Noor, keluar dari pejabat beliau untuk menyoal kehadiran kami. Inilah kali pertama saya dapat bersemuka dengan beliau. Setelah menyoal kami, beliau bergegas untuk sembahyang.

Kemudian, tiba pula pengunjung yang tidak dijemput, Pasukan Polis Cameron Highlands, diketuai oleh Ketua SB, ASP Azmi. Bilangan polis begitu banyak. Apakah rasionalnya pasukan polis perlu hadir di dalam perbincanagan di antara rakyat dengan Pegawai Daerah? Pasukan SB siap dengan kamera dan video kamera untuk merekod kunjungan kami. Beberapa kali pada hari ini, kami terpaksa menyoal tindak-tanduk polis.

Bilik Gerakan PTDCH kemudian dibuka untuk menempatkan kami.

Saya, komrad Agastin dan Nagen dijemput oleh ASP Azmi untuk masuk dan berbincang dengan Pegawai Daerah di pejabatnya. Di dalam perbincangan tersebut, kami telah meminta Pegawai Daerah berjumpa dengan rakyat dan mengambil nota mengenai masalah yang sedang dihadapi oleh mereka. Pegawai Daerah pun bersetuju.

Kemudian sessi dialog bersama Pegawai Daerah telah diadakan. Wakil-wakil MPR menjadi begitu gembira apabila dapat berdialog dengan Pegawai Daerah sendiri. Mereka menyatakan masalah yang sedang dihadapi satu demi satu.

Pegawai-pegawai lain di PTDCH juga telah turut serta di dalam sessi ini. Terima kasih diucapkan kepada semua pegawai yang telah datang untuk turut sama mendengar dan membantu rakyat Cameron.

Sessi dialog ini berakhir pada jam 5.30 petang. Pegawai Daerah telah meminta butiran lanjut untuk kesemua kes yang telah dibincangkan. Beliau berjanji untuk meneliti kes-kes ini dan telah meminta tempoh masa 1 ke 2 bulan. Beliau juga telah berjanji untuk bertemu semula dengan wakil-wakil MPR selepas itu. Sungguh positif akan janji yang diberikan oleh Pegawai Daerah.

Kami akan bertemu semula dalam MPR yang akan datang untuk membincangkan perkembangan yang berlaku pada hari ini. Tetapi satu pengajaran yang paling penting pada hari ini ialah: KUASA RAKYAT DAPAT MENGUBAH SEGALA-GALANYA.

Suresh Kumar
PSM Cameron

No comments: